Dulu hebat, sekarang semakin hambar....

Dulu hebat, sekarang semakin hambar....
Makanan bergoreng seperti ayam, bebola ayam yang dijual di pasar malam

MENTAKAB - Bagi warga Mentakab dan sekitarnya, pasar malam di bandar itu dikenali sebagai ikon bandar tersebut sejak lebih 30 tahun lalu.
Sebagai pasar malam yang dibuka setiap hari di negeri ini, ia menjadi tarikan pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang merasai kehangatan dan kerancakan aktiviti peniaga di situ.
Namun suasananya tidak seperti dahulu kerana kian suram  dan jumlah kehadiran pengunjung turut merosot.
Ia diakui peniaga dan pengunjung yang berniaga di lokasi di Jalan Mok Hee Kiang sepanjang kira-kira satu kilometer.
Peniaga sate, Salman Idris, 35, berkata, pemerhatiannya beberapa tahun kebelakangan ini jumlah pengunjung semakin kurang memberangsangkan.
Menurutnya, dia kini meneruskan perniagaan bapanya sejak era 80-an.
Pasar Malam Mentakab kian suram dan kurang pengunjung serta peniaga tidak seperti era kegemilangannya.
Bagaimanapun, pasar malam itu sudah hilang aura  dan antara faktornya ialah persaingan dengan peniaga lain.
“Dulu pasar malam ini tak banyak macam sekarang. Kini pasar malam boleh ditemui di mana-mana, cuma hanya di sini yang dibuka setiap hari.
“Saya berharap pihak terlibat dapat berbuat sesuatu dan membantu peniaga di sini supaya pasar ini kembali meriah seperti dulu,” katanya kepada Sinar Harian.
Reaksi sama turut diluahkan seorang peniaga minuman, Mat Rasul Yurit, 65 yang berpendapat pelbagai faktor menyebabkan kerancakan di lokasi itu tidak sama seperti dulu.
Menurutnya, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana sedar persaingan harga dan kewujudan pasar malam seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
“Cuma kalau dibiarkan tidak mustahil lama-kelamaan pasar malam ini lenyap dan tinggal sekadar nama sahaja.
“Kalau dulu peniaga berebut nak dapatkan tapak di sini, sekarang hanya tinggal beberapa kerat sahaja yang masih setia.Kalau ramai pun pun ada harinya,” dakwanya lagi.
Bagi peniaga bantal kekabu, Malik Abdul Bani, 30, kekurangan aktiviti menarik di bandar itu juga antara faktor tersebut.
“Kalau di bandar ini cuba anjurkan program menarik seperti ceramah agama, ataupun akiviti santai di pasar malam ini seminggu sekali seperti aktiviti busking dan yang sesuai dengan penduduk.
“Dulu ada Hospital Mentakab berhampiran tetapi sejak bertukar fungsi memang memberi kesan dengan jumlah kehadiran pengunjung di sini,” katanya.
Sementara itu bagi pengunjung, Maria Ariffin, 37, dia sedih melihat suasana di pasar itu tidak seperti ketika zaman remajanya.
“Dulu memang meriah, saya takkan lepaskan peluang datang ke sini mencari apa yang menarik. Cuma suasana dulu dah tiada. Suram,” katanya.
Bagi pengunjung, Wan Ahmad Syafik Wan Abdul Razak, 22 yang berasal dari Kuala Lumpur, dia melihat kurang kepelbagaian makanan di pasar malam menyebabkan tiada tarikan berbanding lokasi lain.


“Saya harap tambahkan lagi jumlah gerai makanan untuk tarikan pengunjung,” katanya.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==