'Saya perlu kuat'



KUALA LUMPUR: Penyanyi Ziana Zain menjelaskan kemelut melanda rumah tangganya perlu ditangani dengan hati-hati demi menjaga perasaan banyak pihak.
Sambil menyifatkan perkara itu sangat sensitif kerana membabitkan prosiding mahkamah selepas suaminya didakwa atas tuduhan mencederakan anak, Ziana, 49, berkata, sebarang keputusan harus difikirkan secara bijak supaya tidak ada hati terluka.
"Pihak saya dan dia (suami), masing-masing perlu ruang dan masa untuk berfikir. Saya ada benda yang perlu dibuat, begitu juga dirinya.
"Lagipun, perkara ini sudah di bawa ke mahkamah, jadi ia sangat sensitif. Bagaimanapun, sebelum membuat sebarang keputusan, kami perlu berfikir masak-masak memandangkan ada banyak hati yang perlu dijaga," katanya kepada BH Online.
Ditanya keterbukaan dan keberaniannya berdepan khalayak ketika kisah peribadinya menjadi tumpuan, penyanyi bersuara lantang ini memberitahu, semuanya dilakukan kerana beliau sangat menghormati kerjaya seninya.
"Saya perlu kuat kerana ini adalah periuk nasi saya. Tuhan itu maha kaya dan saya percaya setiap perancangannya pasti ada hikmah yang menanti.
"Kita tidak tahu apa yang berlaku di hadapan nanti. Dalam hal ini, saya lebih suka mengikuti apa yang sudah direncanakan untuk kita," ujar kakak kepada penyanyi Anuar Zain ini.
Penyanyi Madah Berhelah ini menjawab pertanyaan apakah beliau dan suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, sudah kembali tinggal serumah selepas suaminya itu dibebaskan dengan ikat jamin atas tuduhan mencederakan anak mereka pada 24 Februari lalu.
Mengikut pertuduhan, Armin, 53, yang berkerja sendiri, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.
Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Ziana ditemui selepas menjayakan rakaman program Konsert Dimensi Legenda Raya di Auditorium Perdana, Angkasapur di sini, malam tadi.
Armin dan Ziana mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19; Muhammad Ammar, 14; serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==