'Zulfarhan dinasihatkan ke hospital'


GAMBAR kenangan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersama bapanya Zulkarnain Idrus, 53, dan ibunya Hawa Osman, 54, bergambar kenangan dengan arwah semasa majlis pentauliahan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia . - Foto Ihsan Keluarga Zulfarhan Osman



'Zulfarhan dinasihatkan ke hospital'


KUALA LUMPUR: Penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain dan dua rakannya dikatakan kembali semula ke sebuah klinik untuk rawatan lanjut, empat hari selepas mendapatkan rawatan di klinik sama bagi kecederaan melecur yang dihadapinya.
Pegawai Perubatan Klinik As-Salam di Bandar Baru Bangi, Selangor Dr Azfar Hussin, 34, memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, Zulfarhan Osman datang ke kliniknya pada 31 Mei 2017, di antara jam 10 hingga 11 pagi untuk mencuci luka.
Saksi ketujuh pendakwaan itu berkata, keadaan mangsa ketika itu lebih baik berbanding kali pertama dia mendapatkan rawatan pada 27 Mei 2017.
Beliau memberitahu ada bertanyakan kepada Zulfarhan Osman dan rakannya sama ada mereka telah pergi ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan di sana, namun mereka memberitahu keadaan Zulfarhan Osman bertambah baik dan hanya perlu mencuci luka.
Dalam keterangannya juga, Dr Azfar berkata, beliau sekali lagi mengeluarkan surat rujukan hospital dan menasihati supaya Zulfarhan Osman mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sedang.
"Zulfarhan Osman memberitahu dia akan pergi ke hospital selepas mendapatkan rawatan di klinik," katanya.
Ketika ditanya perbandingan keadaan Zulfarhan Osman pada kali kedua ke klinik, saksi itu berkata, tanda vital, termasuk tekanan darah, degupan jantung dan paras oksigen mangsa berada dalam keadaan normal serta luka mangsa semakin sembuh.
" Dalam pengamatan saya, luka mangsa semakin sembuh kecuali pada bahagian paha dan punggung kerana terdapat cecair yang keluar dari luka itu. Mangsa kelihatan letih dan dehidrasi.
"Sepanjang rawatan dijalankan, Zulfarhan Osman muntah dua hingga tiga kali dan rakannya juga memberitahu mangsa pernah muntah beberapa hari sebelum mendapat rawatan susulan itu," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah pada pemeriksaan utama perbicaraan kes bunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman.
Dalam kes itu, enam penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di Bilik 04-10, Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM, di antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.
Pertuduhan terhadap mereka yang semuanya berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Mereka bersama 13 penuntut lain turut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.
Dakawaan dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Sementara itu, Dr Azfar memberitahu mahkamah, beliau mengetahui mengenai kematian Zulfarhan Osman pada 2 Jun 2017 iaitu selepas polis dan pegawai Kementerian Kesihatan datang ke kliniknya untuk mengambil keterangan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 26 April ini.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==