Jam 3 pagi Eina sanggup masak buat suami



Jam 3 pagi Eina sanggup masak buat suami

KUALA LUMPUR: Sering memuat naik detik indah bersama suami dan anak-anak dalam media sosial, ramai menganggap pelakon, Datin Paduka Eina Azman bertuah dikurniakan suami romantis dan pemurah.
Pada usia 23 tahun, Eina hidup dalam serba kemewahan apabila sering diberi hadiah lumayan tanda kasih sayang suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah terhadapnya.
Eina memberitahu, sangkaan ramai bahawa suaminya berjiwa romantik tidak benar sama sekali.
"Sebenarnya, suami saya tidak romantik apatah lagi manis mulut. Selalunya, bab-bab romantik ini lebih kepada saya. Tetapi suami ada cara tersendiri dalam memikat hati saya.
"Walaupun tidak pandai meluahkan perasaan dengan kata-kata, dia tidak pernah berhenti cuba menggembirakan saya. Ini sama seperti saya yang sentiasa menceriakan dirinya," katanya kepada BH Online.
Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman berkata, sebagai isteri, dia akan memastikan segala keperluan suami termasuk makanan, minuman dan pakaian diuruskan sebaik-baiknya.
"Dia sanggup buat apa saja untuk saya. Tidak ada apa yang mampu saya beri selain kasih sayang.
"Jadi saya akan pastikan makan dan pakainya terjaga. Kalau suami hendak makan pada waktu-waktu tertentu, tak kira masa, walaupun pada jam 3 pagi, saya akan ke dapur dan memasak makanan kesukaannya.
"Saya mahu bahagiakan dirinya seperti dia menggembirakan saya," katanya.
Terbaharu, Eina menerima sebuah lagi kereta mewah Mercedes S500 sempena hari lahirnya yang ke-23 di sebuah hotel di sini, Selasa lalu.
Kaiser membuat kejutan dengan meminta kenderaan itu dipandu ke perkarangan hotel di mana isteri dan tetamu sedang menunggu.
Mengulas mengenai perkara itu, Eina berkata, kereta itu dihadiahkan kerana suaminya mungkin melihat kenderaan yang digunakan sebelum ini, kerap bermasalah.
"Suami tidak akan menghadiahkan sesuatu barangan jika saya tidak menggunakannya. Jadi, hadiah kereta ini mungkin disebabkan kenderaan lama saya kerap bermasalah.
"Terkejut dengan hadiah diberi. Apatah lagi suami merancang membuat kejutan hari jadi saya bersama teman-teman rapat buat pertama kalinya. Sebelum ini, kami hanya menyambut bersama keluarga saja," katanya.
Eina dan Kaiser berkahwin pada 31 Ogos 2014. Mereka dikurniakan sepasang kembar Karl Kareef dan Arianna Aubrey, berusia dua tahun.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==