Enggan berpanas, Jamal ajak sarapan mangga


Enggan berpanas, Jamal ajak sarapan mangga

Selepas memberi amaran untuk mengerahkan 10,000 anggota bagi berdepan dengan penyokong BERSIH hari ini, ketua kumpulan Baju Merah sebaliknya bersarapan mangga kuning hari ini.
Menurut Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak berbaloi untuk kumpulan Baju Merah turun berhimpun pada hari ini kerana jumlah peserta himpunan Kalahkan Pencuri itu didakwanya sekadar seramai 500 orang.
Jumlah itu kata Jamal diperolehi berdasarkan imej yang dirakam dron yang didakwa ada dihantarnya ke sekitar tempat perhimpunan di Tugu Negara itu.
"Bagi saya kalau Baju Merah nak berhimpun menentang mereka pun tak berbaloi (sebab) setakat 500 orang saja.
"Jadi sebab itulah kami pagi ini dah beritahu rakan-rakan Baju Merah, kita duduk rumah sarapan bersama keluarga.
"Buang masa bersama dengan mereka yang saya anggap bodoh, bangang dan biol di kawasan (Tugu Negara) pagi ini," katanya melalui satu klip video ringkas.
Kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya BERSIH mengadakan himpunan aman bagi mendesak supaya laporan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dibentangkan.
BERSIH yang sinonim dengan baju kuning berpendapat ada banyak kelemahan pada cadangan dibuat SPR itu, selain ia memberi kelebihan besar kepada BN jika diluluskan.
Pembentangan itu dibuat ketika hayat Parlimen Malaysia semakin sampai ke penghujungnya dan terbubar secara automatik pada hujung Jun nanti.
Bagaimanapun kebiasaannya kerajaan akan membubarkan parlimen lebih awal - dan mengejut - daripada biasa bagi membolehkan pilihan raya umum (PRU) diadakan.
Tidak seperti kebanyakan negara demokrasi, tarikh PRU di negara ini kekal rahsia sehingga ke saat-saat akhir.
Jamal berkata ucapan yang disampaikan beberapa tokoh BERSIH dan pembangkang pada pagi tadi juga dianggapnya sebagai fitnah dan penipuan.
"Daripada pakai baju kuning (dan) berpanas-panas, bersesak-sesak lebih baik kita kupas mangga kuning ini untuk dibuat sarapan," katanya.

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==