‘Saya dah handsome’

‘Saya dah handsome’

IPOH – “Yeay, adik dah handsome,” demikian reaksi Muhammad Haziq Aqasha Muhamad Sazali, 11, selepas pembedahan di bahagian kepalanya yang parah akibat diseret van sekolah, tujuh tahun lalu, telah berjaya.
Kisah Haziq pernah menggemparkan negara apabila sebahagian tepi kepalanya hilang akibat diseret hampir 100 meter selepas beg galasnya tersangkut pada pintu van ketika turun di hadapan rumahnya di Bandar Baru Putra, Bercham.
Ibunya, Norazaliza Alwi, 38, berkata, anaknya itu telah menjalani lima pembedahan sejak usianya empat tahun selepas kulit kepalanya terkoyak hingga menampakkan bahagian tempurung.
“Adik sangat tabah ketika menempuh beberapa pembedahan dan mengalami kecacatan ada dua jari tangan kirinya. Setelah menjalani fisioterapi lebih setahun, akhirnya jarinya pulih tapi tidak boleh diluruskan.
“Cuma bahagian tengah kepalanya botak selepas sebahagian kulit itu digunakan untuk menutup kecederaan di bahagian tepi itu. Sejak dari itu, dia hanya memakai kopiah di sekolah bermula dari darjah satu hingga empat kerana malu,” katanya ketika ditemui di Wad Kanak-Kanak, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.
Menurutnya, pembedahan terakhir itu bagi mengembangkan tisu di bawah kulit kepala sekaligus membentuk rambut secara semulajadi di bahagian yang botak itu.
“Doktor ada membuka balutan sekejap semalam (kelmarin) bagi membuang tiub dan dia sempat bagi adik tengok keadaan kepalanya. Spontan adik terus tersenyum.
“Dia sangat gembira dan tidak perlu menutup lagi bahagian botak itu. Dia sudah tidak sabar untuk buka balutan dan pergi ke sekolah tanpa kopiah lagi. Berkat kesabaran adik sangat berbaloi,” katanya.

Kunjungan Mohd Ali dan penyerahan hamper menceriakan Haziq yang selamat menjalani pembedahan di Wad Kanak-Kanak, HRPB, semalam.

Haziq turut gembira menerima kunjungan daripada Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby bersama 40 pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dalam lawatan amal sempena Hari Polis Ke-211.
Hadir sama, Timbalannya, Superintendan Abdul Rani Alias dan Pengarah HRPB, Dr Teoh Gim Sian.
Lawatan itu telah memeriahkan 66 kanak-kanak yang teruja menerima kehadiran pasukan beruniform di wad kanak-kanak berkenaan.
Mohd Ali berkata, kunjungan itu dapat membentuk hubungan baik bersama masyarakat yang berperanan sebagai mata dan telinga kepada polis dalam menangani jenayah.
“Lawatan ini menjadi sebahagian tanggungjawab sosial korporat terhadap masyarakat meskipun sibuk dengan tugasan menjaga ketenteraman awam di daerah. Hari ini (semalam) meluang masa bermesra dan menceriakan pesakit selain menyampaikan cenderamata.
“Program ini akan menjadi acara tahunan dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat yang memainkan peranan membantu pihak polis,” katanya.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==