KUALA LUMPUR: Kerap memuat naik video nyanyian di Instagram (IG), netizen bimbang Ernie Zakri bakal hilang nilai eksklusif.
Mencetus fenomena selepas muncul pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 bersama teman duet, Syamel, kekerapan Ernie berkongsi video mendendangkan lagu sendiri mahupun artis lain, dikhuatiri menjadikan dirinya 'bersepah' di laman sosial.
Bertanya perkara itu kepada Ernie, penyanyi Aku Cinta ini menerima pandangan netizen yang mengambil berat soal itu.
"Semuanya terpulang kepada persepsi masing-masing... Sebenarnya, saya bukan buat selalu (kongsi video nyanyian).
"Semuanya ikut mood... Kalau saya minat sesebuah lagu, barulah dirakam dan dimuat naik di IG.
"Saya fikir tak salah kalau saya menyanyi di IG kerana ia platform terbaik untuk mendekati peminat," katanya kepada BH Online.
Ernie berkata, dia faham ada peminat susah hendak bertemu apatah lagi menyaksikan persembahannya di mana-mana acara.
"Jadi apabila muat naik video nyanyian, setidak-tidaknya mereka boleh saksikan," katanya.
Meraih tumpuan ramai selepas membawa pulang trofi Vokal Terbaik pada AJL 32, netizen kagum dengan bakat nyanyian Ernie hinggakan lagu milik artis lain disampaikannya dengan lebih baik.
Baru-baru ini, juara Bintang RTM 2009 ini memikat netizen apabila mendendangkan lagu Sufian Suhaimi, Di Matamu dengan penuh emosi.
Mengulas perkara itu, Ernie memberitahu:
"Saya tidak niat apa-apa pun... Sebaliknya, saya bersyukur dan terharu kalau ada penyanyi lain yang memuji.
"Setiap kali menyanyikan lagu orang lain, saya bukan nak tunjuk diri ini bagus.
"Niat saya adalah untuk beritahu netizen saya suka menyanyi. Selain itu, ia menjadi strategi saya untuk orang lebih mengenali diri ini," katanya sambil menambah dia tidak berniat memuat naik video nyanyian untuk menjadikannya tular.